Rabu, 25 Desember 2013

Majlis Syura sedia dengar Nasharudin

Wartawan Sinar Harian
9 Februari 2013
Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
SHAH ALAM - Majlis Syura Ulama Pas bersedia menerima apa juga cadangan atau pandangan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa yang digugurkan keanggotaannya dalam majlis itu, baru-baru ini.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, Nasharuddin boleh mengemukakan terus pandangannya kepada kepada Majlis Syura Ulama tetapi bukan menyuarakannya melalui media.

Katanya, sebagai bekas ahli Majlis Syura Ulama, sudah pasti Nasharudin mempunyai pandangan sendiri terhadap Pas, dan Majlis Syura bersifat terbuka untuk mendengar pandangannya, termasuk perkara-perkara yang membabitkan kelemahan jika ada.

"Semua sudah tahu Majlis Syura adalah entiti tertinggi dalam Pas. Jadi, jika beliau (Nasharudin) merasakan ada sesuatu, sila tampil sendiri.

"Adalah lebih baik, datang bertemu sendiri, ia lebih harmoni dan mungkin pandangannya itu akan dibawa kepada mesyuarat," katanya, semalam.

Menurutnya, setelah digugurkan daripada Majlis Syura, Nasharudin perlu istiqamah dalam perjuangan Islam.

"Perbezaan pendapat memang akan berlaku, kerana itu mohon beliau tampil bagi mengelakkan perkara tidak baik berlaku. Ahli Pas taat kepada pemimpin dan parti. Tidak ada lagi sejarah dalam Pas, wakil rakyat lompat parti," katanya.

Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura pada 13 Januari lalu dengan alasan tidak menghadiri mesyuarat majlis itu lebih daripada tiga kali.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kalimah ALLAH yang masih menjadi isu hangat memandangkan ada pihak yang masih mahukan ia diguna di dalam Bible versi bahasa Melayu, Nik Zawawi berkata, isu itu sudah selesai.

“Isu ini sudah selesai di peringkat Pas. Namun kita akui masih ada beberapa individu yang masih kurang faham isu tersebut termasuk Pengerusi DAP sendiri, Karpal Singh.

“Tetapi Majlis Syura Ulama tidak pernah berputus asa untuk memberi penerangan iaitu dengan pendekatan tiga perkara iaitu memberi nasihat, menerusi penulisan termasuk surat dan yang ketiga menunjukkan perkara praktikal kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga perkara itu akan diteruskan supaya semua pihak tidak lagi membangkitkan isu kalimah ALLAH ini lagi.

“Inilah usaha kami. Saya harap semua pihak menghentikan isu ini kerana ia tidak menguntungkan negara," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar